Wednesday, June 20, 2007

SCMA : Konvokesyen Tadika Kemas

Saya ingin memulakan koleksi kisah-kisah pendek mengenai Arwah Atuk saya, Haji Othman bin Abdul Ghani. Sebenarnya idea untuk menulis kisah mengenai Atuk ini sudah lama saya fikirkan. Sebelum Arwah meninggal dunia lagi saya sudah berkira-kira mahu menulis. Namun, tidak jadi jadi. Setelah saya membaca e-mel yang panjang mengenai Arwah Atuk karangan Pak Long, saya seolah-olah mendapat rangsangan baru untuk mula menulis.

Saya rasanya tidak mampu untuk menulis sebuah kisah hidup yang panjang. Mungkin itu diserahkan kepada Mama, Pak Busu, atau Pak Long, atau mereka yang berminat atas projek itu. Apa yang ingin saya mulakan adalah kisah-kisah pendek mengenai Atuk dari ingatan dan pandangan orang lain. Saya harap saya dapat 'meminta cerita' daripada orang-orang lain kelak. Namun, saya akan mulakan dengan cerita-cerita dari ingatan saya sendiri.

SCMA : Siri Cerita Mengenai Atuk


Konvokesyen Tadika Kemas

Kisah ini bak kata Mak Ina, sudah diceritakan beribu kali. Itulah sebabnya cerita ini perlu membuka tirai siri cerita ini.

Tahun 1990 saya tinggal di kampung. Ini kerana ibu saya bekerja sendirian di Kuala Lumpur dan tidak dapat menjaga saya. Waktu ini, saya bertadika di Tadika Kemas Simpang Kesang. Namun, perangai saya ketika ini adalah saya tidak suka pergi ke sekolah. Walaupun Atuk tidak pernah gagal membayar yuran RM 10 setiap bulan. Saya masih tidak mahu ke sekolah. Dan tiada siapa yang dapat memujuk saya untuk pergi semula. Saya masih ingat ketika Mama bertanya "Alin tak nak pergi sekolah ni dah besar nak jadi apa?" Saya dengan selambanya menjawab: "Penoreh getah."

Kenapa saya tidak suka ke sekolah? Jawapannya mudah. Saya lebih suka duduk di rumah. Bukannya saya takutkan guru. Bukannya saya tidak tahu membuat latihan sekolah. Bukannya saya tiada kawan. Saya tidak suka bangun pagi. Dan jika saya bangun pagi pun, saya lebih suka mengikut Atuk ke Jasin, ke Pejabat Pos bergerak daripada ke sekolah dan disuruh mewarna tapi tidak boleh terkeluar garisan.

Diikutkan cerita, suatu hari Tadika saya mengadakan majlis hari jadi. Waktu itu saya di dalam bakul motor Atuk saya dan sedang dalam perjalanan balik dari pasar bergerak. Saya dengan tidak tahu malunya berkata pada Atuk yang saya nak pergi. Walaupun ketika itu saya sudah tidak pergi ke sekolah berbulan-bulan. Saya merasakan seronok berada di sekolah ketika itu dan saya mula rajin ke sekolah semula. Dan masa saya kembali ke sekolah itu rupa-rupanya sangat tepat. Ini kerana tidak lama kemudian akan diadakan majlis tamat sekolah atau lebih dikenali sebagai Majlis Konvokesyen Tadika Kemas yang sangat popular itu.

Saya masih ingat, jubah konvokesyen bewarna merah itu hanya ada beberapa pasang. Setiap kali selepas pelajar menerima 'skrol'nya cikgu cepat-cepat membuka jubah dari badannya untuk diberikan kepada pelajar lain yang sedang beratur. Ketika giliran saya, saya teringat pesan Atuk yang suruh saya selepas menerima skrol mengucapkan "Terima Kasih!!" dengan nada Alleycats. Tetapi saya tidak buat. Dan di rumah Atuk sambil senyum besar bertanya kenapa saya tidak melakukannya. Sudah tentu tidak. Saya perlu menjaga reputasi (pelajar hebat yang tidak hadir melebihi 80% tetapi masih boleh graduate).

5 comments:

Anonymous said...

Sori ar,takde kenangan dengan atuk waktu kecil untuk dikongsi.Mungkin banyak,tapi tak ingat.Nanti try tanya mak aku.Kalau ada ar..

Anonymous said...

Nadiah memang selalu tak ingat. Itu biasa.

Fadzlin said...

Hehe Nadiah.. bukan aku cakap.. pak busu yang cakap.. Tapi, tanyalah Atuk kau. Pasti dia ada kenangan dengan Atuk (dan mana tahu Atuk kau lagi boleh ingat).

Anonymous said...

Pak Busu memang..Dia yang hantuk kepala aku kat dinding waktu aku kecik.Tu yang hilang separuh ingatan..hehe..=)

Fadzlin said...

Nadiah : Hehe.. tuduhan berat tu..