Thursday, January 03, 2019

Separuh Aku

Semalam, di group WhatsApp keluarga Kamil yang aku hanyalah pembaca diam, pakcik dan makcikku bernostalgia mengenai zaman kanak-kanak mereka, antaranya perihal dibuli jiran sekitar kampung. Pak Jo, satu-satunya adik kandung lelaki arwah Ayah bercerita tentang dia diugut akan dilaporkan kepada polis Singapura, dan mengadu kepada Ayah. Ayah, yang dipanggil Abang Don oleh adik-adik ketawa dan berkata, mana polis Singapura ada kuasa di sini.

(Abang Don kemudiannya berkahwin dengan anak polis Singapura)

Aku, teruja dengan memori pakcik dan makcikku ini, meminta mereka menceritakan lagi mengenai Ayah.

Semua pemahamanku mengenai Ayah adalah dari sumber sekunder. Dari cerita-cerita Mama, Mak Ina, Achik, Pak Busu dan kini pakcik-makcik ku. Susuk tubuh Ayah itu terdiri dari;

Kepala; yang tidak tinggi, apabila berjalan kaki ke masjid untuk sembahyang raya hilang ditelan jalan berbukit

Muka; yang manis bermisai, selalu senyum dan berjenaka mengenakan adik-adik, namun suka juga merajuk

Bahu; yang mengeluarkan kudrat mengerjakan kebun Atok Kamil, tidak pernah lupa untuk balik semasa cuti semester dari UKM untuk membantu berkebun

Tangan; yang pandai memetik gitar, dengan lagu-lagu Elvis Presley

Kaki; yang mengayuh basikal menghantar orang-orang kampung ke mana-mana mereka mahu pergi

ya Allah, peliharalah susuk tubuh Ayahku ini. Jauhkanlah ia dari azab kubur dan api neraka, dan suatu hari nanti, Kau temukanlah kami berdua akhirnya di syurga.

No comments: