Minggu lepas saya menonton cerita "Marriage Story" dengan Mama di Netflix. Dua motivasi saya mengajak Mama menonton cerita ini:
1. Filem ini mendapat ulasan yang sangat baik dari rata-rata komen yang saya baca. Kedua-dua pelakon utama dan pengarah/penulis menerima pencalonan di Golden Globe dengan persembahan mereka.
2. Adam Driver.
Merujuk kepada sebab pertama, saya bukanlah seorang yang senang terpengaruh dengan filem-filem "Oscar bait". Filem bagi saya haruslah menghiburkan, dan bukanlah "preachy". Impresi saya (dan ini bukanlah bermakna ianya betul) terhadap filem-filem yang tercalon untuk kategori "Best Picture" adalah ianya bosan dengan isu yang berat. Adik saudara saya mengesyorkan saya menonton filem "Parasite", dengan"plot-twist" yang mengerikan. Ianya turut menerima ulasan-ulasan yang sangat baik. Walaupun saya sedikit tertarik, bunyinya seperti filem ini akan menyebabkan saya rasa tertekan selepas habis menontonnya, maka saya hanya mendengar plot cerita ini dengan "spoilers" daripada Muhammad sahaja.
Namun filem Marriage Story dikategorikan sebagai "comedy-drama", melancarkan beberapa "memes" di internet daripada babak-babaknya. Ianya "intriguing", menimbulkan sebuah rasa minat dan ingin tahu. Sungguhpun begitu, sebab pertama ini sebenarnya tidak cukup kuat untuk menarik saya menonton cerita ini sehinggalah..
Saya habis menonton Star Wars: The Rise of Skywalker yang turut dibintangi Adam Driver. Saya adalah peminat tegar siri filem ini. Antara ingatan paling awal saya mengenai Star Wars adalah menonton adegan pertempuran di Endor bersama Ewoks dalam filem Return of the Jedi di RTM. Dengan "Sequel Trilogy" yang dilancarkan oleh The Force Awakens, watak yang paling mengesankan adalah Kylo Ren/Ben Solo. Saya tidak akan menceritakan punca kehampaan saya dengan filem terkini ini, cukup untuk dinyatakan Adam Driver sungguh cemerlang namun keseluruhan cerita ini tidak memuaskan. Ia menyebabkan saya rasa tergantung dan dikecewakan selepas 2 tahun menunggu sambungannya.
Marriage Story adalah satu filem yang sangat jauh dengan Star Wars. Ianya filem yang menceritakan sebuah kisah cinta melalui perceraian. Menonton filem ini, kita faham mengapa dua watak suami-isteri ini memerlukan perpisahan, namun tiada seorang pun dipaparkan sebagai "watak jahat". Charlie (Adam Driver) dan Nicole (Scarlett Johansson) keduanya adalah peribadi yang baik, dan mencuba yang terbaik untuk meleraikan kehidupan mereka secara aman. Konflik berlaku apabila mereka diwakili peguam-peguam cekap yang cukup faham dengan sistem buas perundangan berkait perceraian. Perkara-perkara yang sebelumnya nampak kecil seperti Charlie yang tidak perasan kerusi keselamatan anaknya tidak dipasang lengkap pada kereta sewa, atau Nicole yang sedikit pening selepas minum wain di waktu makan malam dijadikan senjata untuk menyerang peribadi mereka sebagai ibu-bapa di kamar mahkamah dalam menuntut hak penjagaan anak mereka, Henry. Bak kata Nora peguam bagi Nicole, "Sistem ini memenangkan perlakuan buruk".
Ada satu babak yang amat mengesankan bagi saya. Satu malam ketika penggiliran jagaan anak di pihak Charlie, pintu pagar di rumah Nicole rosak dan tidak dapat ditutup. Nicole telah menghubungi Charlie untuk bantuan. Setelah berjaya dibaiki, mereka berdua menolak pagar yang berat itu bersama, perlahan-lahan menutupnya rapat. Satu perlambangan yang amat berpadanan dengan apa yang sedang mereka berdua hadapi.
Filem ini jujur sebagai sebuah cerita mengenai perleraian rumah tangga. Walaupun ia berjaya mendatangkan sebuah rasa sesalan kepada saya sebagai penonton di atas perpisahan Charlie dan Nicole, ianya tidak sesekali menawarkan bahawa mereka akan kembali bersama. Di akhir filem, Charlie dan Nicole berusaha melengkapkan realiti baru penjagaan-bersama mereka, dan mereka berdua juga nampak di posisi yang baik dalam kehidupan baru masing-masing.
Marriage Story memberikan rasa katarsis kepada saya, sesuatu yang hilang tetapi amat diperlukan dalam menyaksikan The Rise of Skywalker.
No comments:
Post a Comment