Monday, August 02, 2010

Rahah

Semalam, 1 Ogos 2010 adalah ulangtahun kelahiran sahabat karib saya Rahah Mokhtar yang ke 26. Happy Birthday, Rahah mok mok.

Saya mula-mula kenal dengan Rahah ketika bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Datok Bendahara Jasin di Tingkatan 1. Waktu itu saya ditempatkan di kelas 1B, dan Rahah pula di kelas 1A. Kami sekelas apabila tiba subjek Ekonomi Rumah Tangga dan Pendidikan Agama Islam. Sewaktu kelas pertama ERT, guru subjek ERT pada waktu itu iaitu Puan Muawanah menasihatkan saya untuk membuat salinan fotostat nota-nota minggu sebelumnya daripada kawan sekelas. Dia mencadangkan nota Rahah kerana menurutnya, tulisan Rahah kemas, dan dia rajin menyalin nota. Saya memandang Rahah, dan sudah tentunya ketika saya memandang dia tengah tekun menyalin nota kelas hari itu. Pandangan saya sewaktu itu, tentunya budak ini pendiam, budak rajin yang baik. Saya juga mendengar dari rakan-rakan yang Rahah ini sangat pandai, antara pelajar terbaik kelas 1A. Saya fikirkan ketika itu mungkin saya akan kekok dengannya.

Ketika mula-mula berkenalan, kami menggelarkan masing-masing "saya" dan "awak". Kami agak kekok, tetapi saya sangat senang berkawan dengan dia kerana dia senang menerima saya. Kawan-kawan saya di kelas 1B ketika itu seperti tidak sukakan saya, mereka tidak suka dengan "budak KL" (saya dengar sendiri dari Zaleha, rakan sekelas 1B) dan tidak sukakan saya berbaik dengan guru-guru yang mengajar. Walaupun saya seharusnya lebih bersedih dengan perkara ini, saya ketika itu sangat tidak kisah, kerana saya semakin rapat dengan Rahah. Kami mendapati kami mempunyai banyak persamaan, dan perkara yang meyakinkan saya bahawa dia ini memang 'satu kepala' adalah ketika saya bertanya kepada dia : "Awak baca komik tak?" dan dia menjawab... "Baca! Dragon Ball, Yuyu Hakusho, SlamDunk, Dragon Quest..."

"Saya/awak" bertukar kepada "aku/kau" dengan cepat. Kami kemudiannya seperti tidak dapat dipisahkan. Setiap kali rehat, siapa yang dilepaskan guru terlebih dahulu akan tunggu di luar kelas untuk ke kantin bersama-sama. Tiap kali kelas ERT dan PAI kami akan duduk bersebelahan dan apabila naik ke Tingkatan 2, kami sekelas, duduk bersebelahan, bergayut di telefon, keluar ke Melaka dan bersama-sama sehinggalah ke Tingkatan 4 apabila saya bertukar sekolah. Selepas itu saya sudah jarang bertemu dengannya, tetapi disebabkan ikatan persahabatan yang amat erat, setiap kali kami berjumpa/berbual di telefon ianya seolah-olah kami baru dipisahkan loceng akhir sekolah sebentar tadi.

Tingkatan 2 di SMDB. Kereta merah Mak Chah ada di dalam gambar ini.

Saya rasa sepanjang hayat saya ini, tidak akan ada lagi sahabat yang lebih rapat dengan saya selain Rahah. Kami sangat rapat, sehinggakan ketika di sekolah beberapa kali orang memanggil Rahah sebagai "anak saudara Cikgu Hafsah", terkelirukan Rahah dengan saya. Kami sangat rapat dan seluruh keluarga kami mengetahuinya. Nenek Rahah memanggil saya 'Pablin' dan Atuk saya memberitahu Rahah kalau saya mengusik apa-apa barang dirumahnya: "report terus dekat Polis". Kami kemudiannya mendapati 'betapa kecilnya dunia' apabila mengetahui Busu Zai dan Nek Busu Rahah adalah kawan baik kerana berjiran di Johor Bharu, dan Uncle Roji dan Auntie Shila Rahah adalah pensyarah yang rapat dengan Pak Busu di UTM Skudai. Perkara yang masing-masing merapatkan lagi hubungan saya dan keluarga dengan Rahah dan keluarganya.

Kaifa dan Rahah di Melbourne. Berjalan tak ajak!

Terlalu banyak yang telah saya lalui bersama Rahah. Saya sudah mengenalinya separuh dari hayat saya. Rahah, atas persahabatan yang kau hulurkan aku ucapkan terima kasih. Lets be best friends forever.

4 comments:

Unknown said...

Pablin TQ...Tp janganla letak gambar buruk masa sekolah2....giler huduh :p

Haizir said...

Sedap dibaca, Lin. Patutnya kena cakap dekat budak-budak yang tak suka tu. "Aku bukan budak KL. Aku budak USJ."
BTW, kat SMDB pun ramai budak KL. Budak Kesang Luar. (Ni sebenarnya idea arwah Atuk. Dulu Atuk pernah gurau dengan siapa tak ingat, Atuk nak pergi KL. Sebenarnya Kesang Luar. :)

Fadzlin said...

Rahah : Takde gambar lain lah. Lagipun yang penting aku cun dalam gambar tu. :P

Pak Busu: Terima kasih! Haha berkawan dengan Rahah sekurang-kurangnya Alin tidak terjebak dengan kepoyoan semasa waktu itu. Kalau tidak mungkin dah minat kumpulan Spoon. Atuk sangat kelakar, baru hari tu bincang dengan Mama tentang sense of humour Atuk.

nadiah said...

Rahah, jangan risau. Muka sekarang dah cun. hehe. Happy Birthday!!:)