Saya mula-mula belajar mengaji ketika tinggal di Kampung Pinang, Sungai Besi. Sewaktu itu saya mengikut kawan yang sudah dahulu belajar mengaji di Surau Kampung Pinang. Setiap pagi, berbekalkan Muqaddam dan rehal serta tudung yang diikat belakang saya akan berjalan ke surau bersama-sama rakan karib saya ketika itu, Faishah.
Pengajian mengaji di surau setiap pagi dipimpin seorang ustazah. Sudah tidak ingat pula saya apakah nama ustazah itu. Atau mungkin saya tidak pernah mengetahuipun namanya apa. Kami semua anak murid hanya memanggil beliau 'ustazah'.
Mula-mula saya belajar 'Alif, Ba, Ta' yang memang saya sudah hafal. Kemudian belajar mengeja sedikit-sedikit berpandukan Muqaddam. Tetapi pelajaran mengeja saya baru sahaja beberapa kali sudah ustazah hentikan untuk memandu saya menghafal ayat-ayat lazim. Saya sangat cemerlang dalam menghafal ayat-ayat lazim. Malah dapat 'memotong' rakan-rakan yang sudah dahulu mula menghafal dari saya. Untuk menggalakkan kami menghafal surah-surah ini, ustazah sering kali mengadakan pertandingan, dan menyediakan hadiah bagi para pemenang. Saya beberapa kali memenangi pertandingan, dan ustazah juga memuji prestasi saya. Saya berasa bangga.
Mama dan Pakcik Yahaya ketika itu berasa ianya sangat kelakar yang saya banyak menghafal surah-surah lazim tetapi tidak pandai mengeja.
Sebagai seorang kanak-kanak, ada surah yang saya 'tidak suka' kerana sukar dihafal. Surah yang saya rasakan sukar ialah Surah Al-Falaq. Ada pula surah yang saya sangat suka, yang saya rasakan senang dihafal dan membawa perasaan istimewa kepada saya ketika itu. Saya masih sangat menyukai surah ini, Surah An-Nas.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
- Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia.
- Yang Menguasai sekalian manusia.
- Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia.
- Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam.
- Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.
- (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.