Berkata tentang Piala Dunia, ingin saya bercerita bagaimana saya mula-mula berminat dengan bola. Pada tahun 1998, ketika itu Piala Dunia diadakan di Perancis. Saya berasa kagum apabila mengetahui 'Zinedine Zidane' yang sangat hebat itu ialah seorang Muslim, dan 'Zinedine' adalah salah satu cara mengeja nama 'Zainuddin'. Menurut Pak Busu, selepas Zizou menolong Perancis memenangi Piala Dunia tahun itu, toleransi terhadap penduduk Muslim di Perancis semakin meningkat. Semenjak itu saya rajin menonton perlawanan bola sepak, kagum dengan impak bola sepak dan pada masa yang sama saya selalu mengambil tahu siapakah pemain-pemain Muslim terkemuka dunia.
Izinkan saya menyimpang sebentar. Dalam perbincangan mengenai Qur'an, Falsafah dan Sains, ada satu 'trend'/fahaman yang agak popular. Ia dipanggil Bucaillism. Dinamakan sempena Maurice Bucaille, pengarang buku The Bible, The Qur'an and Science, penyokong trend ini cuba mencari bagaimana penemuan sains semasa boleh dikaitkan dengan ayat-ayat di dalam Al-Qur'an. Teori-teori dan fenomena seperti pasang surut air laut, Big Bang serta pelbagai telah terlebih dahulu disebut di dalam Al-Qur'an mengikut penyokong fahaman ini. Antara pengarang yang 'masuk' dalam kategori ini ialah Harun Yahya.


Namun terdapat kritikan terhadap trend Bucaillism ini. Kritikan paling vokal terhadap bahaya menghubungkan ayat-ayat suci Al-Qur'an dengan teori-teori sains ialah bagaimana bila teori sains yang dihubungkan ini terbukti salah? Adakah ia juga membuktikan bahawa ayat-ayat Al-Qur'an itu salah?
Di internet terdapat banyak perbalahan antara golongan penyokong Bucaillism dan mereka yang 'anti-Bucaillism'. Pembacaan menarik.
Apa pula kaitannya dengan bola? Sebelum ini saya mengagumi pemain-pemain bola Muslim. Namun.. Muslim sayangnya tidaklah bermakna mereka ini mempunyai sifat terpuji. Contohnya apabila Franck Ribery dan Karim Benzema sama-sama ditahan kerana skandal pelacur bawah umur. Aduh!
Jadi, saya kini tidak lagi selektif dalam memilih pemain untuk disokong. Semua mereka sama di mata saya. Kriteria 'saudara seIslam' sudah tidak ada, sebaliknya saya melebihkan cara dan skil permainan. Jika pemain itu juga 'cute', ianya bonus.


























