Saya punya banyak memori tentang zaman kanak-kanak, antara yang paling saya ingat ialah betapa gemarnya saya terhadap komik Doraemon.
Doraemon mula-mula saya kenali dengan menonton
anime (kartun) nya yang ditayangkan di TV. (Kartun Doraemon ini nampaknya begitu
evergreen. Saya baru saja selesai menonton satu episod di NTV7 sebentar tadi). Kemudian pada sekitar tahun 1992 (jika tidak silap) Syarikat Penerbitan Tora Aman mula menerbitkan komik Doraemon secara bersiri.
Saya masih ingat, Mama mula membelikan komik Doraemon untuk saya semenjak keluarannya yang pertama. Sewaktu itu cuti sekolah, dan seperti selalu saya berada di kampung. Mama membawa komik itu ke kampung untuk bacaan saya. Sewaktu Mama sampai, saya tidak berada di rumah Nenek, sebaliknya di rumah Tok Ali. Apabila saya sampai di rumah Nenek, Mama memberitahu dia ada membeli komik Doraemon untuk saya. Wah! Saya sangat seronok. Tetapi kemudiannya saya mendapati komik itu sedang dibaca Nadiah. Mak Lang menyuruh Nadiah memberikan komik itu kepada saya, tetapi Mak Chah (dan keadilan sosialnya) memberi arahan kepada saya untuk menunggu giliran. Saya menunggu dengan tidak sabar-sabar.
Doraemon Volume 1Maka bermulalah kisah cinta saya dengan komik-komik Doraemon. Komik-komik ini menjadi peneman zaman kanak-kanak saya. Saya berasa amat kagum dengan imaginasi pengarang Fujio F. Fujiko. Komik ini menceritakan tentang pelbagai perkara, daripada apa yang menyebabkan kepupusan Dinosaur, kepentingan menjaga alam sekitar, dan pelbagai lagi konsep-konsep sains dan sosial.
Namun melebihi kekaguman saya dengan jalan cerita yang pelbagai, saya merasa dekat dengan watak di dalam komik itu. Seperti Nobita saya (ketika itu) adalah seorang anak tunggal, dan saya juga seorang pelajar sekolah rendah. Saya juga teringat membandingkan Mama saya dan Mama Nobita. Kedua-duanya memakai cermin mata tetapi di situ persamaan berakhir. Di mana Mama Nobita ialah seorang yang sangat garang, saya teringat memikirkan bahawa Mama saya tidak garang (sekurang-kurangnya tidak segarang Mak Chah dan keadilan sosialnya).

Terdapat satu ketika, dua keluaran Doraemon telah keluar tanpa kami sedari. Sewaktu kami ke kedai Titian Emas yang berdekatan dengan sekolah, Mama membelikan saya kedua-dua keluaran Doraemon itu untuk saya. Seorang budak Cina yang juga berada di kedai itu pada ketika itu seperti kagum dan berkatakannya kepada kami. Mama membalas;
"Ialah budak ini, emak dia sayang dia."
... Doraemon akan sentiasa mengingatkan saya tentang zaman kanak-kanak saya. Namun yang penting sekali, Doraemon akan sentiasa mengingatkan saya tentang kasih Mama kepada saya.
Terima kasih Mama. Selamat Hari Ibu.